masa baca paper Kosmo! hari rabu, 3 sept ari tu, terbacala 1 artikel kat pg 17-19 pasal budak2 ketagih tgk wayang.. saper yg x sempat baca, sila baca kat bawah..
RENCANA UTAMA
Ketagihan kaki wayang
Oleh YEO LI SHIAN

"SIAPAKAH pelakon yang memegang watak joker dalam filem Batman terbaru, The Dark Knight? Namakan pelakon yang berlakon sebagai kapten dalam kapal angkasa filem Meet Dave.
"Jika anda tahu jawapannya, dail sekarang. Pemanggil kelima dan ke-10 yang bertuah bakal memenangi empat keping tiket menonton filem-filem ini secara percuma. Apa tunggu lagi?"
Inilah antara soalan yang sering kita dengar di radio mahupun membacanya di akhbar. Ketika ramai antara kita tidak ambil pusing tentang hal ini, Shahrul Fawwaz Mohd. Amin dan Nor Hanif Hanapi tetap merebut peluang keemasan yang ditawarkan itu.
Bayangkan betapa bertuahnya anda jika dapat menonton wayang secara percuma. Bukan untuk sehari dua tetapi hampir setiap minggu. Rahsianya? Anda kena rajin mendengar radio dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan harapan anda menjadi antara pemenang bertuah memenangi tiket wayang tersebut.
Begitulah tuah yang menyebelahi Shahrul, Hanif dan seorang lagi rakan mereka, Dzulfadly Ismail sejak obsesi yang luar biasa terhadap wayang menjadi satu 'hobi'.
Percubaan pertama Shahrul, 27, untuk memenangi tiket wayang percuma menerusi satu peraduan stesen radio menjadi titik tolak kepada 'ketagihan' ini.
Tiket pertama yang dimenanginya ialah untuk filem, Exit Wounds yang dibintangi Stephen Seagal kira-kira lapan tahun lalu.
Ketika kebanyakan daripada kita terpaksa berebut menunggu giliran membeli tiket di panggung wayang, Shahrul dan rakan-rakannya lebih 'selesa' menanti waktu peraduan bermula.
Hampir sedekad menjadi kaki wayang, sudah semestinya, asam garam peraduan memenangi tiket wayang percuma, tidak perlu lagi diperjelaskan kepadanya.
"Kaedah penyertaan peraduan kini lebih kepada SMS. Deejay akan memberi kata laluan dan sekiranya jawapan berbentuk SMS anda, antara yang pertama atau kelima diterima maka, hadiah itu milik anda," katanya membuka bicara dalam pertemuan bersama Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.

Hanif, Shahrul dan Fawwaz sudah membentuk 'komuniti' sendiri dengan hobi ini
Hasil daripada tuah yang datang, secara puratanya, juruanalisis sistem ini akan menonton wayang secara percuma dua kali seminggu. Andai dikira secara kasar berdasarkan koleksi tiket wayang yang disimpan Shahrul, lebih 500 filem dan animasi Hollywood telah pun ditontoninya secara percuma. Ini satu jumlah yang mungkin lebih banyak daripada yang ditonton oleh seorang pengulas filem! Sama ada filem popular mahupun kurang sambutan, Shahrul seakan sudah mampu menilai kualiti lakonan seseorang pelakon mahupun filem tersebut.
Cerita Shahrul, keseronokan memenangi tiket wayang adalah kerana pemenang akan menerima habuan keemasan menjadi antara orang pertama yang menonton sesebuah filem.
"Misalnya, filem Transformer, Hancock, The Mummy 3, The Dark Knight dan Pirates of the Carribean yang merupakan antara filem premier dunia. Malaysia adalah negara yang pertama menayangkannya sebelum ia ditayangkan di Amerika Syarikat (AS)," katanya.
Tidak menelan 'modal' yang tinggi, setiap penyertaan SMS untuk memenangi tiket tayangan sesebuah filem hanya memerlukannya membuat 'pelaburan' maksimum RM10.
"Setiap kali menang, kami akan mendapat dua atau empat keping tiket. Terpulang kepada 'kemurahan' pihak penaja iaitu Golden Screen Cinema (GSC) ataupun TGV. Jika empat tiket pun, dah mencecah nilai sekitar RM40. Jadi, berbaloi jugalah," terangnya panjang lebar.
Walaupun bertuah berbanding sebilangan besar daripada kita kerana sering menonton wayang secara percuma, Shahrul akui ada kalanya filem yang ditonton tidak menepati jangkaan. Katanya, filem In The Name of The King yang dibintangi Jason Statham adalah contoh terdekat.
Seperti kebanyakan orang, filem The Dark Knight turut menjadi filem paling terkesan dalam minda Shahrul setakat ini. Menyifatkan lakonan Heath Ledger sebagai menakjubkan, Shahrul berpendapat Ledger berjaya mencipta legenda tersendiri dalam menghidupkan watak joker.
Dalam obsesi terhadap hobi ini, siapa sangka akan terjalin pula tali persahabatan bersama fanatik wayang yang lain. Nampaknya, panggung wayang yang menjadi saksi persahabatan antara Shahrul dan Hanif dari Kelantan.
Bertuahnya dapat menjadi orang pertama menonton filem premier
Hanif yang juga berusia 27 tahun, mengakui telah empat tahun menonton wayang secara 'percuma'. Semuanya hasil daripada usaha dan tuah memenangi tiket wayang menerusi peraduan dalam pelbagai media.
'Ketagihan' awalnya terhadap tiket-tiket wayang percuma juga berputik selepas 'sekadar mencuba nasib'.
"Selepas kali pertama mencuba, saya sentiasa teringin mencuba lagi dan obsesi itu akhirnya berlanjutan sehingga kini," katanya.
Hanif pula menghabiskan purata RM5 sehari bagi mencuba nasib memenangi tiket wayang percuma. Namun, daripada hanya 'berusaha' sendiri, dia rela mendapatkan kerjasama rakan lain untuk meningkatkan peluang kemenangan.
"Saya, Shahrul dan beberapa orang rakan lagi akan berpakat untuk menanti waktu siaran stesen radio berbeza. Pernah beberapa kali, ketiga-tiga kami menang dan dapat lebih daripada enam tiket untuk menonton filem yang sama. Lepas tu, ajaklah ramai kawan pergi sekali," ceritanya sambil tertawa besar.
Daripada peraduan anjuran stesen-stesen radio tempatan, Hanif tidak ketinggalan mencuba nasib memenangi tiket wayang menerusi majalah-majalah hiburan.
Seperti juga Shahrul, Hanif tidak menganggap 'perbelanjaan' yang dihabiskan untuk peraduan-peraduan ini satu pembaziran. Sebaliknya, tindakan ini ada ketikanya membuahkan 'bonus' tanpa dijangka.
"Hampir setiap kali sebelum sesebuah previu wayang bermula, akan ada 'kejutan' lain seperti cabutan bertuah. Saya pernah memenangi telefon bimbit sebanyak dua kali dan sekali pakej percutian," tambahnya.
Dalam usaha memenangi peraduan seumpama ini, mungkin sesetengah orang sanggup berdepan dengan pelbagai situasi. Hanif tidak terkecuali. Malah, dia pernah menjadikan tangannya sebagai 'pertaruhan' demi mendapatkan tiket untuk ke sebuah filem sekitar awal tahun ini.
"Pada masa itu, saya menyertai satu peraduan anjuran sebuah stesen radio melalui skuad perondanya. Ini yang paling susah dan sukar dilupakan.
"Syarat peraduan ialah tangan siapa yang boleh bertahan paling lama dalam baldi berisi ais akan menjadi pemenang dua tiket untuk filem, Flood.
"Selepas satu minit, daripada lima peserta, tinggal dua kerana tiga menyerah kalah. Saya dan seorang peserta wanita masing-masing bertahan lebih 10 minit. Tak sangka, dia pun boleh bertahan begitu lama. Tetapi, disebabkan pihak penganjur pun bimbang jika sesuatu kejadian buruk berlaku, maka kedua-dua peserta dikira pemenang," jelasnya.
Nyata, peraduan tersebut meninggalkan kesan apabila tangannya masih terasa sakit biarpun selepas dua minggu peraduan itu berakhir.
"Selepas itu, saya tak berani nak buat lagi kerana saya terpaksa tanya doktor macam mana nak pulihkan tangan saya ketika itu," katanya dalam nada kesal.
Mengunjungi panggung wayang sudah sinonim dengan tiga jejaka ini.
Seorang lagi geng kaki wayang Hanif, Dzulfadly Ismail, 28, pula terpengaruh dengan hobi ini kerana jalan mudah mendapatkan tiket wayang percuma.
Beliau mengakui telah menghabiskan sekitar RM600 dalam tempoh hampir tiga tahun bagi 'melayan' obsesi ini.
Kata Dzulfadly, dalam tempoh setahun, lebih kurang 54 buah filem yang ditontoninya hasil daripada kemenangan peraduan stesen radio. Walaupun begitu obses dengan hobi ini, dia memberitahu bulan Ramadan adalah tempoh untuk mereka 'berehat seketika'.
"Kami memang tekun mengejar peraduan pada hari-hari biasa. Tetapi, setiap kali tibanya Ramadan, kami akan berhenti seketika, sebagai menghormati bulan yang mulia ini," ujar anak kelahiran Pulau Pinang yang kini menetap di Kuala Lumpur.
Kumpul 500 tiket wayang
Bagi sebilangan besar daripada kita, tiket-tiket wayang tidak lebih daripada sekeping kertas atau kad biasa. Sama ada dibuang atau kembali ke tong kitar semula, jarang sekali ada yang menyimpannya. Namun begitu, bagi tiga sekawan ini, tiket-tiket ini digilai demi satu sebab utama iaitu menjadi bukti bilangan koleksi filem yang pernah ditonton mereka.
Tiket-tiket wayang yang berbentuk kad previu kini telah mencecah ratusan keping dan disimpan rapi di dalam album, kotak dan juga laci. Semuanya dipunggah ke studio Kosmo! sebagai bukti terhadap obseesi menonton wayang. Koleksi tiket wayang Nor Hanif, 27, yang berjumlah sekitar 500 kepingdengan kira-kira 300 daripadanya adalah kad previu,disimpan baik dalam album foto. Malah sekali sekala, jurutera ini berkata, album tersebut akan dibelek untuk menilai kepuasan diri.
Menurutnya, pengumpulan tiket-tiket ini ada signifikannya. Selain dapat melihat perubahan dan perkembangan dari segi rekaan serta grafik, kad-kad previu ini seakan 'setem-setem gergasi' yang tinggi nilai memorinya. "Kad previu kegemaran saya ialah The Incredible Hulk kerana warnanya yang cukup menyerlah. Pada awalnya, tiket-tiket wayang yang dimenangi kebanyakannya hanyalah kertas dengan cetakan tulisan hitam. Lama kelamaan, warna ini akan hilang, tetapi sekarang pihak penaja nampaknya lebih bermurah hati memberikan kad previu yang berwarna warni dan kreatif rekaannya" tambahnya.
Shahrul Fawwaz yang memiliki koleksi tiket wayang mencecah 500 keping pula terkilan apabila gagal memenangi tiket untuk filem kesukaannya, Batman Begins. "Tak ramai yang tahu hobi ini. Jadi kami cuma bertukar-tukar kad dengan mereka yang sekepala dengan kami. Saya paling suka tiket wayang CJ7 kerana saiznya yang besar dan unik," jelasnya yang menetap di Subang.
Jika tiket wayang berbentuk kad previu digilai Shahrul dan Hanif, Dzulfadly Ismail pula lebih obses terhadap pengumpulan cenderamata filem-filem tertentu. Dia yang mempunyai koleksi tiket wayang berjumlah 175 keping pernah ditegur ibu bapa kerana hobi yang dianggap tidak berfaedah. Anak sulung daripada tujuh adik beradik ini sering mencari peluang untuk memenangi koleksi cenderamata daripada peraduan stesen radio mahupun majalah.
Jam tangan, baju kemeja dan kunci berantai adalah antara "habuan" daripada usaha menyertai peraduan-peraduan dalam pelbagai jenis media. Jadi, kepada kaki-kaki wayang di luar sana, mungkin sebelum anda membuang kad-kad previu itu,agaknya ia boleh disumbangkan kepada tiga sekawan ini.
muahaha... ni kira antara pencapaian terbesar sejak aku menceburkan diri dlm bidang ni.. gmbr2 lain masa the making of interview ni ada kat
enterframe.. nak baca kat
Kosmo! pun boleh gak..

ni gmbr enterframe.. dapat benda ni masa premier Hulk.. kotak ni dah nak buang, tu yg amik gmbr sbg kenangan..